DASAR KEBUDAYAAN KEBANGSAAN
(DKK)

LATAR BELAKANG
Kebudayaan merupakan keseluruhan cara hidup manusia.
Kebudayaan dalam pengertian yang luas ialah pakaian batin yang dilahirkan melalui proses penghayatan yang berkesan dan mendalam.
Ia dihasilkan melalui perlakuan manusia dalam pelbagai bentuk perhubungan, penyataan fikiran, perasaan dan perbuatan, penyataan sikap, nilai-nilai yang diyakini dan diamalkan dari semasa ke semasa sehingga mewujudkan kesejahteraan hidup bermasyarakat yang bersatu padu dan kukuh.
Negara dianggap sebagai suatu ruang kehidupan.
Manusia atau penduduknya ialah bangsa yang mewakili sesebuah negara itu meskipun mungkin terdiri daripada pelbagai keturunan dan kaum
Negara sebagai tempat bagi kita mengembangkan potensi dan membangunkan peradaban bangsa
Maka, kebudayaan dalam erti kata ini ialah meliputi pembinaan sikap, nilai dan ciri yang menentukan akal budi, ketinggian ilmu,penerimaan sains dan teknologi yang sesuai sehingga menumbuhkan rasa persefahaman dan kekitaan sebagai satu bangsa dalam satu negara
Bagi Malaysia, ia berperanan penting dalam proses pembangunan negara,yakni keperibadian Malaysia harus dipupuk dalam usaha-usaha yang dijalankan ke arah meningkatkan pembangunan sosioekonomi dan politik.
Ini sudah tentunya memerlukan penggemblengan dan penglibatan semua lapisan masyarakat dalam satu proses yang berterusan.
Bagi sebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum seperti di Malaysia, proses pembentukan kebudayaan nasional memerlukan perancangan yang teliti dan rapi supaya dapat melahirkan cara hidup yang bersifat keMalaysiaan.
Perancangan kebudayaan ini harus menentukan sifat-sifat yang baik, mulia dan utama bagi pembinaan bangsa dan ketahanan negara.

RASIONAL DKK
DKK digubal pada tahun 1971 hasil persetujuan bersama dalam Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971
Penggubalan Dasar Kebudayaan Kebangsaan adalah penting bagi sesebuah negara membangun dan yang mempunyai penduduk berbilang kaum seperti Malaysia.
Dasar ini nanti akan dapat menjadi garis panduan dalam membentuk, mewujud dan mengekalkan identiti negara di kalangan dunia antarabangsa.
Penggubalan dasar ini perlu dibuat dengan mempertimbangkan fakta-fakta perkembangan sejarah serantau dan kedudukan negara ini sebagai pusat pertemuan serta pusat tamadun dan perdagangan sejak dua ribu tahun yang lampau.
Peranannya sebagai sebuah pusat pertemuan, telah melahirkan proses interaksi, pengenalan, penyerapan dan penerimaan pelbagai unsur-unsur yang sesuai kepada kebudayaan asas rantau ini dari pelbagai unsur-unsur kebudayaan dunia.

PRINSIP DASAR KEBUDAYAAN KEBANGSAAN (DKK)
Sebagai satu proses yang berterusan, penwujudan Kebudayaan Kebangsaan Malaysia akan terus berlandaskan unsur-unsur dan tiga prinsip yang ditetapkan oleh Kerajaan sebagai Dasar Kebudayaan Kebangsaan iaitu:

(i) Berteraskan kepada Kebudayaan Rakyat Asal Serantau

Merangkumi kawasan Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Brunei, Thailand dan Kampuchea serta Kepulauan Selatan Pasifik (Polynesia, Melanesia dan Oceania) sehingga Malagasi adalah merupakan bahagian utama dari kawasan tamadun atau budaya Melayu.
Rantau ini merupakan pusat pemancaran, pengembangan dan warisan Kebudayaan Melayu sejak zaman berzaman dan ditandai pula oleh kegemilangan dan keagungan tamadun Melayu yang berpusat di Melaka yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan antarabangsa (linguafranca).
Digambarkan oleh persamaan-persamaan di bidang bahasa yang berasaskan keluarga bahasa Melayu - Austronesia, kedudukan geografi, pengalaman sejarah, kekayaan alam, kesenian dan nilai-nilai keperibadiannya.
Budaya Melayu pada hari ini merupakan cara hidup, lambang identiti dan asas ukuran keperibadian kepada lebih 200 juta umat manusia yang menuturkan satu rumpun bahasa yang sama.
Kebudayaan rakyat asal rantau ini dalam pengertian sempit atau luasnya kebudayaan Melayu telah dijadikan teras kepada Kebudayaan Kebangsaan.

(ii) Unsur-unsur Kebudayaan Lain Yang Sesuai dan Wajar Boleh Diterima

Kebudayaan sebagai sesuatu yang dinamik, sentiasa berubah-ubah melalui proses penyerapan dan penyesuaian secara berterusan.
Prinsip ini bertepatan dengan situasi penduduk berbilang kaum yang mewarisi pelbagai budaya
Dengan itu unsur-unsur budaya Cina, India Arab, Barat dan lain-lain yang sesuai dan wajar diberi penimbangan dan penerimaan dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan.
Kesesuaian penerimaan dalam penyerapan ini adalah bergantung kepada tidak wujudnya percanggahan dengan Perlembagaan dan prinsip-prinsip Rukun Negara dan kepentingan nasional serta asas-asas moral dan kerohanian sejagat pada amnya dan pada Islam sebagai agama rasmi negara khasnya.

(iii) Islam Menjadi Unsur Yang Penting Dalam Pembentukan Kebudayaan Kebangsaan

Agama atau kepercayaan kepada Tuhan merupakan unsur penting dalam proses pembangunan negara serta pembentukan rakyat yang berakhlak dan berperibadi mulia.
Agama Islam memberi panduan kepada manusia dalam mengimbang dan memadukan usaha bagi mengisi kehendak-kehendak emosi dan fizikal
Oleh itu ia patut menjadi unsur yang penting dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan memandangkan kedudukannya sebagai agama rasmi negara
Di samping itu wujudnya fakta sejarah dan nilai-nilai Islam yang telah sedia didukung oleh sebahagian besar rakyat rantau ini.
Ketiga-tiga prinsip asas di atas adalah melambangkan penerimaan gagasan Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971.
Ia juga lambang atau simbol kepada asas pembentukan masyarakat berbilang kaum di Malaysia dan memaparkan kesejagatan dalam menentukan DKK yang berpihak kepada semua kaum namun masih lagi didasari oleh peruntukan perlembagaan yang menjadi pegangan dan sekatan norma kepada masyarakat Malaysia.

OBJEKTIF
Pembangunan Kebudayaan Kebangsaan bagi negara-negara yang baru merdeka amatlah penting untuk mewujudkan sebuah negara yang stabil dan bersatupadu. Dengan yang demikian usaha-usaha pembentukan Kebudayaan Kebangsaan Malaysia adalah bertujuan untuk mencapai tiga objektif penting iaitu:

(i) Mengukuhkan perpaduan bangsa dan negara melalui Kebudayaan;

(ii) Memupuk dan memelihara keperibadian kebangsaan yang tumbuh daripada Kebudayaan Kebangsaan; dan

(iii) Memperkayakan dan mempertingkatkan kualiti kehidupan kemanusiaan dan kerohanian yang seimbang dengan pembangunan sosioekonomi.

Ketiga-tiga objektif DKK dilihat bertimbal balik di antara satu sama lain kerana melalui perpaduan maka cita-cita menanamkan semangat kenegaraan, nasionalisme dan nilai-nilai persamaan dapat dipupuk
Pada masa yang sama dapat melahirkan wajah bangsa Malaysia (Aziz Deraman: 2005)
Hal ini bermakna keperibadian rakyat dan suku kaum di Malaysia ditonjolkan berasaskan persamaan ciri-ciri budaya yang mengatasi sifat-sifat perkauman
Lambang-lambang seperti YDPA, nilai dan norma yang sama, falsafah RN dan perlembagaan menjadi kebanggaan dan wadah menjamin wujudnya sebuah kebudayaan kebangsaan di Malaysia

DKK & PERPADUAN MASYARAKAT
Pembentukan masyarakat dan bangsa Malaysia baharu haruslah berupaya mewajahkan sebuah masyarakat yang kukuh, bersatu padu dan bersefahaman, taat setia, terhindar daripada kemiskinan pemikiran semangat, tenaga, bermoral dan mempunyai suatu kehidupan kebangsaan yang boleh dimegahkan
Oleh yang demikian, matlamat pembinaan kebudayaan kebangsaan memang menepati hasrat dan konsep pembangunan serta pemajuan bangsa yang berjiwa besar di negara ini.
Selain daripada cita-cita untuk mewujudkan perpaduan bangsa dan negara, matlamat kebudayaan juga adalah untuk menjaga dan memelihara, mengembangkan dan mengukuhkan pembinaan kebudayaan kebangsaan.

Strategi & Pelaksanaan Objektif DKK

(i) Pemulihan, pemeliharaan dan pembangunan kebudayaan ke arah menguatkan asas-asas Kebudayaan Kebangsaan melalui usahasama penyelidikan, pembangunan, pendidikan, pengembangan dan perhubungan budaya;

(ii) Meningkat dan mengukuhkan kepimpinan budaya melalui usaha-usaha membimbing dan melatih peminat, mendokong dan menggerak kebudayaan seluas-luasnya sebagai jentera pembangunan yang berkesan;

(iii) Mewujudkan komunikasi yang berkesan ke arah kesedaran kebangsaan, kenegaraan dan nasionalisme Malaysia;

(iv) Memenuhi keperluan sosiobudaya; dan

(v) Meninggikan taraf dan mutu kesenian.


DKK SEBAGAI ASAS PEMBENTUKAN MASYARAKAT MALAYSIA
Penggubalan dan pelaksanaan Dasar Kebudayaan Kebangsaan adalah perlu bagi negara Malaysia yang sedang membangun dan yang mempunyai penduduk berbilang kaum yang mengamalkan budaya yang berbeza.
Dasar ini dapat menjadi garis panduan dalam membentuk serta mewujudkan satu bangsa yang bersatu-padu serta mengekalkan identiti negara di kalangan dunia antarabangsa.
Namun demikian pelaksanaannya adalah rumit dan tidak dapat dicapai dalam masa yang singkat.
Kesedaran dan kefahaman yang luas akan dapat membantu tercapainya hasrat dan cita-cita pelaksanaan dasar ini kerana dengan keinsafan itu sahaja Kebudayaan Kebangsaan akan dapat dibezakan dengan kebudayaan kesukuan atau kebudayaan kaum.
Kebudayaan yang dipupuk itu akan mencirikan sifat-sifat persamaan yang melampaui batas-batas suku kaum dan memperlihatkan keperibadian kebangsaan Malaysia itu sendiri sebagai sebuah negara yang merdeka dan bermaruah.
Masyarakat Malaysia yang terbentuk hasil penggubalan DKK ini adalah diharapkan boleh menjadi masyarakat yang konsisten dalam mempertahankan toleransi, kesepaduan, semangat nasionalisme, mengamalkan nilai-nilai atau norma yang sama dalam sebuah bumbung negara yang berasaskan masyarakat pluralistik
Allahyarham Tun Abd. Razak, PM kedua dalam Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971 :-

“…nenek moyang bangsa kita yang mendiami rantau Nusantara ini meninggalkan pusaka kebudayaan yang kaya raya dan tinggi mtunya. …sewajarnya kita menerima gagasan bahawa Kebudayaan Kebangsaan yang sedang dibentuk dan dicorakkan hendaklah berlandaskan kebudayaan rakyat asal rantau ini. …patutlah juga mengambil unsur-unsur kebudayaan yang datang ke rantau ini…yang dapat menyegarkan dan mencorakkan kebudayaan Malaysia masa hadapan. Namun harus diingat dalam mencari bentuk dan menentukan corak tersebut, kita tidak lah melupakan masyarakat kita yang berbilang bangsa “the reality of our multiracial society…”

(Dipetik dan diubahsuai daripada Aziz Deraman: 2005; DBP. Hal. 8-9)


5 ulasan:

Unknown berkata...

01

Unknown berkata...

sebaiknya gunakan warna tulisan yang mudah dilihat...

Tanpa Nama berkata...

ok

Tanpa Nama berkata...

k igtkan tak habis loading rupanya website ni memang mcm ni

Unknown berkata...

taknak bagi orang baca ke

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
Copyright 2010 PENGAJIAN MALAYSIA
Lunax Free Premium Blogger™ template by Introblogger